Sunday, May 16, 2010

Baitul Muslim

*Copy Paste from ex-housemate

Baitul Muslim. Rumah tangga muslim.

Yang terbina dengan “mithaqan ghaliza”, perjanjian yang teguh antara seorang Muslim lelaki dan seorang Muslim wanita yang disatukan atas dasar tauhid, dan perjuangan menegakkan syiar Islam. Dari sepasang suami isteri yang berpegang teguh dengan prinsip Islam, akan melahirkan generasi yang memahami Islam sejak dari dalam perut ibunya. Dan dari keluarga Islam, maka akan wujudlah masyarakat Islam.

Adakah ini sekadar teori? Sejauh manakah formula ini diyakini?

Dari sel-sel yang sihat, akan terbentuk tisu yang berfungsi dengan baik, yang kemudiannya membina sistem tubuh badan yang sempurna. Bukankah penyakit barah yang kita lihat sangat dahsyat kesannya kepada kehidupan seseorang, adalah berpunca dari sel-sel yang telah musnah?

Suatu perkara besar, sering bermula dengan asas yang paling kecil, namun paling penting. Dan keluarga adalah kubu yang paling ampuh dalam pembinaan umat yang hebat.

Bukankah pengakhiran yang baik, bermula dengan langkah mula yang baik?

Untuk melahirkan Imam Syafiie, perkara pertama yang dilakukan oleh ayahnya adalah mencari isteri yang terbaik untuk menjadi ibu kepada anak yang bakal lahir.

Ramai yang resah gelisah akan dikahwinkan dengan orang yang tidak dicintainya, seolah-olah cinta adalah tiket untuk kebahagiaan rumah tangga.

Berkahwin dengan orang kita cintai… atau mencintai orang yang kita kahwini?

Ramai yang meragui pasangan yang memilih untuk mencari pasangan dengan jalan yang paling syari’e, menggunakan orang tengah dalam urusan pebincangan demi mengelak fitnah, kerana bimbang pada ketidak sesuaian dan ketidak hadiran cinta yang akan mewarnai rumah tangga.

Tidak yakinkah kita kepada jodoh? Sekiranya tiada jodoh, walau apa jua jalan, baik yang memilih sendiri, mahupun yang dipasangkan, pasti tidak akan berakhir dengan lafaz akad.

Semua orang boleh menerima kelebihan, namun tidak semua boleh menerima kelemahan, dan berkahwin, adalah proses belajar menerima kelemahan pasangan. Mungkin dia tidak sempurna, namun dia adalah yang terbaik untuk kita.

Alhamdulillah, semakin aku mengenalinya, semakin aku mengenalNya. Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui yang terbaik untuk kita. Terima kasih Allah, kerana menemukanku dengan seorang insan yang dalam dirinya, aku sering mendapat peringatan.

Genap sepuluh bulan hidup bersama. Semoga semakin teguh iltizam kita. Baitul Muslim, yang menjadi rumah api kepada masyarakat di sekelilingnya. Masih jauh kita dari destinasi ini, namun kita akan terus belajar, sedia dinasihati, rela ditegur, dan sudi dibimbing, agar Baitul Muslim ini adalah sebenar-benar Baitul Dakwah Qudwah.

Dedikasi untuk yang dicintai….

Juga untuk mereka yang meyakini formula ini, semoga dipermudahkan segala urusan baik yang masih di tangga pertama, mahupun yang sedang dalam proses menuju ke tangga kedua dan yang kini sedang menjalani cabaran di tangga kedua dengan penuh kesabaran.



p/s: Memoh will be going back soon. Minus 1 orang untuk dibuli dan untuk bergaduh!.


No comments: